SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Ogos 2014

'DAPUR JALANAN' BOLEH OPERASI SEPERTI BIASA - TENGKU ADNAN

Bernama
9/8/2014




Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Aktiviti 'Dapur Jalanan' dibenar beroperasi seperti biasa tanpa sebarang tempoh tertentu, namun aspek kebersihan akan dipantau ketat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebelum ini kementerian menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh akhir untuk Dapur Jalanan itu beroperasi.

"(Sekarang) tiada masalah untuk mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti itu seperti biasa. Kita juga sudah berbincang dengan mereka dan kenal pasti tempat perlindungan sementara untuk aktiviti itu beroperasi.

"Ketua Setiausaha saya dan juga Datuk Bandar akan mengeluarkan kenyataan penuh pada Rabu mengenai perkara tersebut. Umum juga perlu tahu kita sentiasa berbincang dengan NGO dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia di sini Sabtu.

Sebelum ini dilapor, semua NGO yang menjalankan aktiviti Dapur Jalanan hanya dibenar meneruskan aktiviti memberi makanan kepada gelandangan sehingga 16 Ogos iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

Tarikh itu dipersetujui sebagai tarikh baharu penguatkuasaan larangan memberi makanan kepada gelandangan selain makanan boleh diagihkan kepada golongan gelandangan cuma tidak dibenarkan berada dalam kawasan 2km radius dari ibu kota.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata kementerian juga dalam usaha memberi elaun bandar kepada kakitangan DBKL yang berpendapatan rendah bagi meringankan beban ekoran kos hidup semakin tinggi di pusat bandar raya ini.

"Ada lebih kurang 60 peratus kakitangan DBKL yang mempunyai pendapatan lebih kurang RM2,000 (sebulan), iaitu di bawah garis kemiskinan.

"Kita akan cuba selesaikan dan berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara untuk benarkan DBKL membayar elaun itu," katanya.

Mengulas mengenai majlis yang dihadirinya, Tengku Adnan berkata antara yang dibangkitkan adalah masalah perumahan dihadapi anggota tentera termasuk yang akan bersara memiliki kediaman sendiri.

"Program pembangunan semula kawasan setinggan tertentu untuk dimajukan kepada rumah murah mampu milik masih berterusan bagi membantu tentera, polis dan penjawat awam kategori rendah untuk memiliki hartanah di Wilayah Persekutuan.

"Kita akan bantu dan terus berbincang dengan mereka dari semasa ke semasa dan perkara ini juga telah saya panjangkan kepada pihak tertentu untuk dipertimbangkan," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: