Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, potongan gaji penjawat awam yang terbabit telah dilakukan sejak tahun 2011, namun sehingga hari ini rumah yang dibeli tiada perkembangan yang positif dan ada yang masih terbengkalai.
“CUEPACS melihat perkara ini secara serius kerana melibatkan pembelian rumah yang dianggap sebagai pelindung, tetapi ramai yang sudah tertipu apabila pembinaan rumah yang dibeli itu tidak siap dibangunkan lagi.
“Rata-rata yang membuat pinjaman rumah juga bukanlah daripada kalangan orang berpendapatan tinggi dan potongan gaji pula sudah dilakukan sejak kira-kira lima tahun lalu, namun apa yang dijanjikan tidak dilunaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Pada 22 Januari lalu, CUEPACS mendedahkan lebih 60 peratus penjawat awam terutamanya golongan muda menjadi mang­sa penipuan pelbagai kes sejak beberapa tahun lalu, antaranya membabitkan kes pembe­lian rumah tidak siap, kad kredit, sindiket gores dan menang serta kegiatan perniagaan jualan langsung (MLM).
Bagaimanapun, kes melibatkan pembelian rumah tidak siap diberi keutamaan kerana membabitkan jumlah yang besar serta memberi harapan palsu kepada pembeli yang mengidamkan sebuah kediaman untuk sama ada membina keluarga atau sebagai tempat perlindungan.
Sementara itu, beliau tidak menafikan sikap orang Melayu sendiri yang mengambil langkah lepas tangan dan terlalu bergantung kepada pihak yang lain sebagai antara punca berlakunya penipuan tersebut.
“Mereka yang tertipu ini mudah percaya kepada orang lain kerana tidak mengambil inisiatif untuk memantau sendiri perkembangan terhadap rumah yang dibeli, sehinggalah sudah berasa sesak, barulah hendak bertindak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, nasib orang Melayu pada masa akan datang juga agak tidak stabil apabila tinjauannya mendapati terdapat dua buah keluarga menetap dalam sebuah rumah teres ekoran kesempitan hidup.