MOHAMAD ZABIDI
Itu reaksi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mengenai isu kenaikan gaji kakitangan awam yang disentuhnya ketika ber­ucap merasmikan Hari Terbuka Psikologi Pahang anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sebuah hotel di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai penggerak transformasi, penjawat awam perlu mengubah minda dan strategi dengan duduk sebagai satu landasan perkhidmatan bagi memberi khidmat terbaik kepada semua termasuk kepada rakyat, pembangunan negara dan golongan yang berkehendakkannya seperti pelabur.
Kata beliau, pendekatan tersebut pasti dapat memikat pelbagai pihak termasuk kemasukan pelaburan ke negara ini sehingga memberi nikmat ekonomi yang lebih baik kepada semua.
“Kalau duit banyak, nak naik gaji boleh, nak naik elaun boleh. Tetapi kalau ekonomi dalam keadaan tertekan, bagaimana nak naik gaji dan elaun?,” katanya.
Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda menyampaikan Memorandum CUEPACS 2015 berhubung tuntutan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 35 peratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum kepada Mohamad Zabidi selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu-Isu Semasa di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras di Kuala Lumpur.
Menurut Azih, setakat ini gaji terendah yang diterima oleh kakitangan awam sebanyak RM805 sebulan tidak memadai dan di bawah paras kemiskinan terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar.
Dalam pada itu, Mohamad Zabidi yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan tidak dapat memberikan kenyataan dengan alasan terpaksa bergegas kerana mempunyai urusan lain.
Terdahulu, beliau berkata, penjawat awam perlu bersedia meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, berupaya memberi nilai tambah dalam melaksanakan perkhidmatan serta berkarektor betul yang bersesuaian dengan tugas diamanahkan.